Sesungguhnya memang benar firman Allah SWT `Dan tidak Kami utuskan kau(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Inilah matlamat kedatangan Rasulullah s.a.w yang membawa risalah Islam untuk semua manusia. Islam bererti patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Oleh itu Muslim bererti orang yang patuh dan tunduk kepada Allah SWT.
Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek peribadatan semata tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Ini ialah kerana Islam amat peka terhadap pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia agar proses transformasi yang di lakukan dalam dimensi-dimensi ini dapat melahirkan manusia bertaqwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.
Allah sebut di dalam Al-Quran `Tidak Kami Abaikan Sesuatu pun di dalam Al Kitab’(Surah Al-An’am, 38). Al-Quranlah sumber inspirasi, motivasi, ilmu pengetahuan, pengubat pelbagai penyakit fizikal, emosi dan rohani dan yang menjelaskan segala perkara yang bersangkut paut dengan perkara duniawi dan ukhrawi. Ini ialah kerana ia adalah wahyu Allah SWT Sudah tentu Pencipta manusia lebih bijaksana daripada manusia itu sendiri. Pembuat jam sudah tentu lebih mengetahui mengenai komposisi jam itu, kelemahanya dan bagaimana untuk menggerakkanya daripada orang yang memakai jam tersebut. Begitu juga Allah SWT lebih tahu mengenai apa yang baik untuk manusia daripada manusia itu sendiri kerana Dialah yang menciptakan manusia. Allah sudah menentukan hanya cara hidup Islam sahaja yang menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.
Oleh kerana itulah Islam melihat proses pembinaan fizikal yang utuh seseorang Muslim itu sebagai satu kewajipan yang harus di berikan perhatian. Allah mahu hamba-hambaNya mempunyai tubuh badan yang sihat agar ia dapat melakukan tugasnya sebagai khalifatullah fil ard di muka bumi, mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya secara berterusan . Tugasnya termasuk seperti firman Allah SWT
`Kamulah sebaik-baik umat yangdilahirkan daripada manusia. Kamu mengajak kepada kebaikan, kamu melarang daripada kejahatan dan kamu beriman kepada Allah’.