Budak Kroh Headline

Subscribe Budak Kroh via email

Enter your email address:

Delivered by Budak Kroh

Pasangan kaya raya jual dadah

Oleh AZMAN MD. NOOR
pengarang@utusan.com.my

PENGKALAN HULU 17 Okt. - Tanda tanya kehidupan mewah sepasang suami isteri terbongkar apabila kedua-duanya ditahan kerana disyaki menjadi pengedar dadah, dalam serbuan polis di rumah mereka di Kampung Kuak Luar dekat sini awal pagi semalam.

Turut dirampas dalam serbuan pukul 1.30 pagi di rumah yang memiliki sembilan buah bilik itu adalah sejumlah dadah jenis ganja seberat 219 gram, syabu (45 gram), pil psikotropik (45 biji) dan Eramin 5 (65 biji).

Polis turut merampas enam buah kereta, tiga buah motosikal, wang tunai RM1,100 dan 2,100 bath (RM213) selain menyita rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Anuar Omar berkata, ketika ditahan di bahagian dapur rumah, suspek lelaki yang berusia 44 tahun dan isterinya, 47 tahun sedang membawa keluar sebuah bekas mengandungi dadah berkenaan.

Beliau berkata, serbuan diketuai oleh Ketua Cawangan Narkotik Daerah, Cif Inspektor Mohd. Yusoff Jahaya, hasil maklumat awam dan risikan polis.

"Kita percaya pasangan itu yang mempunyai tiga anak memiliki rangkaian pengedaran dadah di Kupang, Baling," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Dalam perkembangan sama, polis daerah itu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri berjaya menahan 12 penagih termasuk sepasang suami isteri yang sedang khayal mengambil dadah di Klian Intan.

Anuar menambah, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 39A (2) ADB yang memperuntukkan hukuman penalti lima tahun penjara atau sebat tidak melebihi 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, IPD Pengkalan Hulu akan terus berusaha mengekang habis-habisan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails