PENGKALAN HULU - Pelbagai usaha diadakan untuk menyampaikan kempen memerangi dadah, dan antaranya ialah melalui muzik yang sememangnya mendapat tempat di hati golongan remaja. Menyedari perkara itu, Calsonic Music Enterprise bersama Band Attelary menganjurkan Mini Jammz Festival dengan menggunakan tema ‘Tiada Peperangan, Tiada Dadah,’ (No War No Drug) di Dewan Serbaguna Cina, Kampung Baru Pengkalan Hulu. Pengerusi penganjur, Md Rizal Mohd Zain berkata, konsert itu diadakan dengan tujuan utamanya untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam kalangan anak-anak muda. Menurutnya, selain itu, pihaknya juga ingin mewujudkan suasana indus�tri muzik yang bebas daripada dadah. “Kami turut menetapkan syarat kepada tujuh kumpulan muzik yang menyertai konsert mini ini dan juga kepada semua penonton, yang mana ia wajib dipatuhi sepanjang konsert berlangsung dan selepas konsert. “Paling penting, kumpulan muzik yang menyertai konsert dilarang sama sekali berkeadaan mabuk dan menggunakan dadah sebelum atau selepas persembahan serta menepati masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Md Rizal berkata, penonton juga perlu mengikuti disiplin yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Menurutnya, dalam kebanyakan konsert, penonton perlu menjaga perlakuan kerana disiplin penonton lebih sukar dikawal berbanding kumpulan-kumpulan yang membuat persembahan. “Kami juga menetapkan agar penonton tidak boleh berkeadaan mabuk dan menggunakan dadah sepanjang konsert mini itu berjalan dan bagi yang berteman pula, tidak dibenarkan sama sekali berkelakuan tidak senonoh,” katanya. Md Rizal berkata, konsert mini itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan belia tempatan apabila kira-kira 1,000 penonton berbilang kaum hadir dan mereka semua memberikan kerjasama yang baik. Menurut beliau, konsert mini itu juga berjaya menonjolkan bakat yang bagus dalam kalangan kumpulan-kumpulan yang menyertainya dan hampir kesemuanya memberikan persembahan terbaik dan berkualiti serta memuaskan penonton. “Sebanyak enam kumpulan muzik tempatan dan satu daripada Kulim, Kedah, memberikan persembahan terbaik mereka, dengan sesetengahnya membawakan lagu ciptaan sendiri,” katanya. Md Rizal turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Seri Diraja Mohd Tajol Rosli Ghazali; ADUN Temengor, Datuk Hasbullah Osman; Pejabat Belia dan Sukan Pengkalan Hulu; Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu; Aznel Enterprise dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan sehingga konsert itu berjaya diadakan dengan jayanya.
(petikan dari paper sinar harian edisi perak 03/08/2009)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan